Friday 12 August 2011

Penjelasan keatas bidang kuasa AJK Pro-tem

Saya membeli rumah dan tinggal di sebuah taman perumahan di Shah Alam. Segulungan penduduk telah menubuhkan persatuan penduduk dan kelulusan dari PPPM negeri baru saja diperolehi. Mesyuarat Agong belum lagi diadakan. Persatuan penduduk tersebut telah berfungsi sejak hampir setahun lalu dengan dikelolakan oleh AJK Pro-tem yang dilantik pada mesyuarat pertama persatuan ditubuhkan.

Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai bidang kuasa AJK Pro-tem sebelum AJK sebenar dipilih melalui Mesyuarat Agong yang akan diadakan kelak. Bolehkah AJK Pro-tem membuat keputusan keputusan berikut:

a. Memutuskan setiap penduduk yang ingin menjadi ahli diwajibkan membayar RM 20 setiap rumah dan yuran RM 5 setiap bulan. Bayaran hendaklah di majukan bersama borang permohonan.

b. Sekiranya penduduk tidak menjadi ahli, maka tidak ada hak mengundi atau pun memberi cadangan maupun pandangan walaupun seseorang itu membeli dan mendudukki rumah di taman tersebut.

c. Setiap permohonan mesti disokong oleh 2 orang ahli dan AJK Pro-tem boleh menolak permohonan TANPA memberi sebarang sebab

Mohon mendapat penjelasan sama ada keperluan yang dibuat oleh AJK Pro-tem tersebut adalah didalam bidang kuasa mereka. Saya berpendapat bahawa setiap penduduk didalam taman tersebut berhak hadir di Mesyuarat Agong yang pertama tanpa menjadi ahli sehinggalah AJK sebenar dilantik sewaktu Mesyuarat Agong tersebut. Apa apa keperluan untuk menjadi ahli boleh dicadangkan dan diputuskan didalam Mesyuarat Agong tersebut umpamanya yuran bulanan, kelayakan menjadi ahli dan sebagainya.

Mohon penjelasan. Terima kasih.

------------------ // ------------------

Jawapan : Perkara di atas adalah dirujuk.

Untuk makluman tuan, AJK Penaja bagi sesebuah pertubuhan adalah bertanggungjawab untuk berurusan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia bagi tujuan pendaftaran. Setelah didaftarkan AJK Penaja hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung yang pertama dalam tempoh setahun selewat-lewatnya sebelum tarikh yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Pertubuhan yang didaftarkan di Jabatan ini.

a) Berkaitan pembayaran yuran yang dikenakan, ia adalah termaktub di dalam Perlembagaan Pertubuhan yang berdaftar. Sekiranya ahli tidak bersetuju dengan kadar yuran tersebut bolehlah dibincang dan diputuskan di dalam Mesyuarat Agung.

b) Keahlian seseorang di dalam pertubuhan adalah secara sukarela dan tiada keahlian secara automatik. Seseorang individu hendaklah berdaftar sebagai ahli yang sah di dalam sesebuah pertubuhan berdaftar dan layak mendapat keistimewaan sebagai ahli sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan berdaftar pertubuhan termasuk hak memberi cadangan dan mengundi.

c) Peraturan ini sekiranya terdapat di dalam Perlembagaan pertubuhan, maka tidak menjadi halangan kepada Jawatankuasa pertubuhan untuk melaksanakannya, Walau bagaimanapun sekiranya didapati terdapat penyalahgunaan fasal ini, maka aduan bolehlah diajukan ke Jabatan ini bagi siasatan lanjut.

Setiap penduduk boleh hadir di dalam Mesyuarat Agung yang diadakan oleh persatuan. Namun demikian, apa-apa cadangan, kuasa mengundi, hak untuk diundi adalah tertakluk kepada ahli berdaftar sahaja. Sehubungan itu, dicadangkan keahlian dibuka sebelum Mesyuarat Agung dilaksanakan. Sebarang keputusan berkaitan perlembagaan pertubuhan, pelantikan AJK dan aktiviti yang dicadangkan oleh persatuan bolehlah dibincangkan bersama oleh ahli semasa sesi Mesyuarat Agung diadakan.

Sekian, terima kasih.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia

0 comments:

Post a Comment