Welcome to Bayu Parkville

The townhouse residential area.

Makan-makan

We all must eat.

Wednesday 25 March 2015

Penggunaan 'Boom Gate' Sah Disisi Undang-Undang

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan penggunaan pintu berpalang (boom gate) dan pembinaan pondok pengawal keselamatan di pintu keluar masuk kawasan perumahan adalah sah di sisi undang-undang.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel lima hakim, berkata akses berperaturan ke kawasan yang ditakrifkan bukan satu halangan dalam undang-undang terutama jika ia untuk tujuan keselamatan.

"Ia menjadi sebegitu jika seseorang itu dinafikan akses ke tempat awam. Ia bukan penghadang yang diletakkan di laluan orang ramai untuk menyekat sama sekali orang yang ingin memasuki kawasan itu," katanya dalam penghakiman ringkas setebal 10 muka surat yang dikeluarkan pada 19 Mac lepas.

Beliau berkata pondok pengawal keselamatan dan pintu berpalang merupakan kemudahan infrastruktur yang dibenarkan di bawah Akta Perancangan bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Ia tidak boleh dipertikaikan bahawa komuniti berpengawal merupakan skim yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan awam di kawasan perumahan yang ditakrifkan," katanya.

Panel tersebut membuat keputusan itu selepas membatalkan rayuan yang dikemukakan oleh seorang penduduk kawasan perumahan D'Villa Equestrian di Kota Damansara, Petaling Jaya, Au Kean Hoe, yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Persatuan Penduduk D'Villa Equestrian.

Au mendakwa pondok pengawal dan dua pintu berpalang yang dibina di kawasan perumahan itu harus dirobohkan kerana ia merupakan struktur haram, kacau ganggu dan dianggap sebagai satu halangan.

Zulkefli berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebagai pihak berkuasa tempatan dalam kes ini, diberi kuasa undang-undang untuk meluluskan pondok pengawal dan pintu berpalang selaras dengan garisan panduan MBPJ untuk komuniti berpengawal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan pada Mei 2011.

Menurutnya pihak pemaju taman perumahan itu telah memperoleh kelulusan daripada MBPJ untuk pembinaan pondok pengawal tersebut.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat kesimpulan dengan tepat bahawa dakwaan Au berhubung kemudhan tersebut bukanlah perbuatan kacau ganggu.

Pada Ogos 2010, Au tidak lagi menjadi ahli persatuan penduduk itu dan berhenti membayar yuran penyelenggaraan bulanan sebanyak RM250 sebelum dikurangkan kepada RM200.

Au membuat laporan polis dan aduan atas talian kepada MBPJ selepas persatuan penduduk mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 25 Oktober 2011, memaklumkan penduduk yang tidak membayar yuran penyelenggaran perlu membuka sendiri pintu berpalang tanpa bantuan pengawal keselamatan bertugas.

Au kemudian mengambil tindakan undang-undang atas alasan kacau ganggu manakala persatuan penduduk itu membuat tuntutan balas bagi tunggakan yuran penyelenggaran dan memohon perintah injuksi bagi menghalang Au daripada menggangu persatuan dan juga pengawal di pondok kawalan keselamatan.

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan Au tetapi membenarkan tuntutan balas oleh persatuan itu dan mengeluarkan perintah injuksi. 

Au akhirnya gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.
** Sekadar rujukan untuk bacaan penduduk BPV

Saturday 7 March 2015

BPV Home Bazaar

Semua penduduk Bayu Parkville dijemput hadir.

Pastikan anda membuat pendaftaran di pejabat sekiranya berminat untuk mengambil bahagian.


Friday 6 March 2015

Papan tanda 'kejutkan' penduduk degil Bayu Parkville

Beberapa pekerja memasang papan tanda sindiran kepada penduduk degil yang enggan bayar yuran bulanan di Taman Bayu ParkVille, Seri Kembangan baru-baru ini.
"Tergamak anda membiarkan orang lain menanggung yuran untuk keselamatan dan kesejahteraan anda, isteri dan anak-anak anda"
Itu bunyi tulisan pada papan tanda berhampiran pondok pengawal perumahan bandar, Bayu Parkville di Taman Balakong Jaya. Bagi orang luar yang membacanya pasti tertanya-tanya kenapa sampai kena pasang papan tanda?
Bagaimanapun, langkah itu terpaksa dilakukan oleh persatuan penduduk di perumahan itu selepas beberapa usaha mengadakan mesyuarat dan menghantar surat ke setiap rumah mahu penduduk bekerjasama membayar yuran tidak mendapat sambutan menggalakkan sejak beberapa tahun lalu.
Apa pun, ia sebenarnya berkisar soal sikap, semangat kejiranan dan sikap mementingkan diri sendiri. Menurut salah seorang wakil persatuan penduduk yang tidak mahu dikenali, selain di pintu masuk, papan tanda yang sama diletakkan di taman rekreasi di dalam taman.
"Mereka (penduduk) semua mahu taman yang gated dan guarded (berpagar dan berpengawal) namun tidak sanggup bayar RM50 sebulan kepada persatuan.
"Kepada sebahagian penduduk yang bayar yuran pula merasakan mereka terpaksa tanggung biaya keselamatan jiran-jiran mereka yang berdegil dan liat bayar," ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, yuran RM50 itu bukan sahaja untuk kad akses, gaji pengawal tetapi turut melibatkan kos penyenggaraan taman rekreasi, gaji tukang kebun dan penganjuran majlis sempena musim perayaan untuk penduduk.
"Sudahlah liat bayar yuran tetapi bila nak masuk siap jerit dan hon kuat-kuat suruh pengawal buka pagar tapi bila berlaku kecurian mereka jadi orang paling bising," katanya. Ada juga yang tunjuk samseng bergaduh dengan pengawal yang lambat membuka pagar sehingga menimbulkan kekecohan.
Malah, katanya, pada peringkat awal membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meminta pihak berkuasa tempatan itu merobohkan pagar dan pondok pengawal. Ada juga sebahagian ahli jawatankuasa persatuan tarik diri kerana tidak tahan dengan sikap segelintir penduduk seperti itu.
Ia menyebabkan beberapa bulan taman perumahan tidak ada pengawal sehingga meningkatkan kes kecurian. Itulah fenomena yang berlaku di taman-taman perumahan di sekitar Lembah Klang. Ada persatuan penduduk yang aktif dan cekap, penduduk buat hal dan ada penduduk yang beria-ria mahu berpakat, persatuan penduduk lepas tangan.
Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kak Mah pula berkata, kira-kira 50 peratus sahaja daripada lebih 400 penduduk di situ membayar yuran. "Mereka tidak malu 'menumpang' keselesaan di taman ini dengan duit yuran jiran-jiran mereka sendiri," katanya.
Sebelum itu, papan tanda berwarna merah berbunyi; Sudahkah anda membayar yuran bulanan ada ditampal namun ayat standard seperti itu tidak berkesan. Ia ibarat seperti mencurah air di daun keladi.
Bagaimanapun, kata-kata sindiran dan sinis kadangkala memberi kesan.
Tinjauan MalaysiaGazette selepas sehari pemasangan papan tanda itu menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai mula membayar yuran bulanan sejak semalam.
Kadangkala kita terfikir betapa susah hendak berkongsi dan bekerjasama demi kebaikan bersama apabila tinggal di kawasan bandar sekiranya tidak ada iltizam dan semangat yang kuat.-- MalaysiaGazette


Monday 2 March 2015

Penggunaan Lampu Gelanggang Taman



Bermula pada minggu hadapan, lampu gelanggang akan dikunci setiap masa.

Ini berikutan terdapat penduduk yang menggunakan lampu pada waktu malam dan sengaja meninggalkan lampu terbuka sehingga pagi (keadaan ini telah meningkatkan kadar bil elektrik yang perlu dibayar).

Sekiranya penduduk bercadang menggunakan gelanggang dan lampu pada waktu malam, anda perlu ke pejabat sekuriti untuk memohon kunci dan setiap pinjaman akan dicatatkan pada buku peminjaman. Dinasihatkan pemimjam untuk mengembalikan kunci selepas menggunakan gelanggang. 

Kerjasama penduduk amat dihargai.

Pengumuman Penukaran Syarikat Sekurity BPV

Untuk makluman semua ahli serta penduduk Bayu Parkville, bermula pada 28/02/2015, jam 7.00 malam, Syarikat Maxhis security Sdn. Bhd. akan mengganti dan mengambil alih kawalan keselamatan di Bayu Parkville daripada Syarikat Lombarda Securities Sdn. Bhd.

Keputusan ini diambil setelah timbulnya beberapa insiden keselamatan yang tidak dapat dielakkan. Untuk makluman, Syarikat Maxhis adalah anak syarikat yang mengendalikan sekuriti di Taman Gita Bayu.

Kita masih mengekalkan 4 orang jaga (2 pagi dan 2 malam) yang berasal dari Nepal (Gurkha) dan jumlah bayaran perkhidmatan adalah meningkat sebanyak RM900 dari syarikat terdahulu.

Kawalan keselamatan akan lebih ketat (dijangka), Persatuan memohon agar semua penduduk mengunakan kad akses untuk keselesaan anda.

Persatuan juga meminta kerjasama penduduk agar melunaskan bayaran bulanan RM50 sebulan terus ke pejabat atau melalui pemindahan wang elektronik.

SEKIAN DAN TERIMA KASIH.