Friday, 6 March 2015

Papan tanda 'kejutkan' penduduk degil Bayu Parkville

Beberapa pekerja memasang papan tanda sindiran kepada penduduk degil yang enggan bayar yuran bulanan di Taman Bayu ParkVille, Seri Kembangan baru-baru ini.
"Tergamak anda membiarkan orang lain menanggung yuran untuk keselamatan dan kesejahteraan anda, isteri dan anak-anak anda"
Itu bunyi tulisan pada papan tanda berhampiran pondok pengawal perumahan bandar, Bayu Parkville di Taman Balakong Jaya. Bagi orang luar yang membacanya pasti tertanya-tanya kenapa sampai kena pasang papan tanda?
Bagaimanapun, langkah itu terpaksa dilakukan oleh persatuan penduduk di perumahan itu selepas beberapa usaha mengadakan mesyuarat dan menghantar surat ke setiap rumah mahu penduduk bekerjasama membayar yuran tidak mendapat sambutan menggalakkan sejak beberapa tahun lalu.
Apa pun, ia sebenarnya berkisar soal sikap, semangat kejiranan dan sikap mementingkan diri sendiri. Menurut salah seorang wakil persatuan penduduk yang tidak mahu dikenali, selain di pintu masuk, papan tanda yang sama diletakkan di taman rekreasi di dalam taman.
"Mereka (penduduk) semua mahu taman yang gated dan guarded (berpagar dan berpengawal) namun tidak sanggup bayar RM50 sebulan kepada persatuan.
"Kepada sebahagian penduduk yang bayar yuran pula merasakan mereka terpaksa tanggung biaya keselamatan jiran-jiran mereka yang berdegil dan liat bayar," ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, yuran RM50 itu bukan sahaja untuk kad akses, gaji pengawal tetapi turut melibatkan kos penyenggaraan taman rekreasi, gaji tukang kebun dan penganjuran majlis sempena musim perayaan untuk penduduk.
"Sudahlah liat bayar yuran tetapi bila nak masuk siap jerit dan hon kuat-kuat suruh pengawal buka pagar tapi bila berlaku kecurian mereka jadi orang paling bising," katanya. Ada juga yang tunjuk samseng bergaduh dengan pengawal yang lambat membuka pagar sehingga menimbulkan kekecohan.
Malah, katanya, pada peringkat awal membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meminta pihak berkuasa tempatan itu merobohkan pagar dan pondok pengawal. Ada juga sebahagian ahli jawatankuasa persatuan tarik diri kerana tidak tahan dengan sikap segelintir penduduk seperti itu.
Ia menyebabkan beberapa bulan taman perumahan tidak ada pengawal sehingga meningkatkan kes kecurian. Itulah fenomena yang berlaku di taman-taman perumahan di sekitar Lembah Klang. Ada persatuan penduduk yang aktif dan cekap, penduduk buat hal dan ada penduduk yang beria-ria mahu berpakat, persatuan penduduk lepas tangan.
Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kak Mah pula berkata, kira-kira 50 peratus sahaja daripada lebih 400 penduduk di situ membayar yuran. "Mereka tidak malu 'menumpang' keselesaan di taman ini dengan duit yuran jiran-jiran mereka sendiri," katanya.
Sebelum itu, papan tanda berwarna merah berbunyi; Sudahkah anda membayar yuran bulanan ada ditampal namun ayat standard seperti itu tidak berkesan. Ia ibarat seperti mencurah air di daun keladi.
Bagaimanapun, kata-kata sindiran dan sinis kadangkala memberi kesan.
Tinjauan MalaysiaGazette selepas sehari pemasangan papan tanda itu menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai mula membayar yuran bulanan sejak semalam.
Kadangkala kita terfikir betapa susah hendak berkongsi dan bekerjasama demi kebaikan bersama apabila tinggal di kawasan bandar sekiranya tidak ada iltizam dan semangat yang kuat.-- MalaysiaGazette


0 comments:

Post a Comment